ditulis oleh:-
Mohd Noor bin Daud
1) Akhir-akhir ini pondan, makyah, tomboy, pengkid dan lain-lain nama yang membawa maksud yang sama iaitu menyerupai jantina lain semakin menjadi-jadi termasuk di negara kita Malaysia. Diceritakan mereka sudah ada kelab, ada persatuan, ada sekolah, badan kebajikan dan lain-lain. Tidak terkecuali mereka yang berpendidikan yang belajar di IPT juga terlibat. Gejala ini boleh dilihat di mana-mana IPT. Lelaki lembut, perempuan keras dan macam-macam.
2) Pelbagai alasan diberikan oleh golongan ini. Antaranya sebagaimana dimuatkan dalam harian metro bertarikh 21/4/2011 ialah untuk ”mencari makan sewaktu membuat persembahan sahaja selepas itu kembali normal, untuk mencari rezeki”, saya tahu hukumnya dalam agama, jiwa saya menuntut demikian, dan tidak mahu jadi hipokrit, ini hak saya dlln. Tidak sedikit juga barisan artis (dulunya disebut anak wayang) yang cuba sedaya upaya menghidupkan watak ini dengan penuh penghayatan sama ada artis yang sudah mendapat ”datuk” atau yang akan dapat kemudian... Pada 20/4/2011 seorang pondan dengan berani mengatakan:’ Baik mati dari berubah” apabila beliau tidak dibenarkan membuat persembahan di Kelantan.
3) Ada perempuan yang sanggup ”botakkan kepala” kerana tuntutan pengarah (malangnya bukan tuntutan agama) dan lebih rela dengan tuntutan pengarah filem itu. Ada lelaki yang sanggup berpakaian wanita dan wanita berpakaian dan berwatakan lelaki. Semua memberikan hujah dan alasan bagi membenarkan apa yang dibuat. Ada filem/drama di Malaysia mengenai seorang ayah yang makyah. Filem/drama ini berjaya memburukkan orang agama kerana memandang sinis kepada ayah yang makyah ini dan berjaya membuatkan penonton kesian dengan nasib makyah ini. Mungkin itulah objektif drama itu...
4) Apapun tindakan kita, alasan, tuntutan, hak dan penjelasan, hukum dan hak agama patut dijunjung dan dipegang sungguh-sungguh. Siapapun kita selagi bergelar muslim alasan-alasan kita itu perlu dilihat dengan suluhan agama. Berhubung isu ini, Nabi s.a.w. melarang tegas sikap menyerupai orang berlainan jantina. Dalam satu hadis disebutkan: ”Allah melaknat golongan lelaki yang menyerupai wanita dan juga golongan wanita yang menyerupai lelaki” (hadis riwayat Bukhari dan lain-lain). Ertinya larangan ini meliputi kedua-dua golongan. Menurut Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi: termasuk dalam maksud hadis ini, menyerupai pada gaya bercakap, gaya bergerak, gaya berjalan, gaya berpakaian dan lain-lain. (lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, h.85).
5) Menurut al-Qaradhawi lagi, seburuk-buruk ujian kehidupan yang menimpa umat ialah ”keluar dari fitrah” sehingga lelaki menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki. Nabi s.a.w. telah menyebutkan antara golongan yang dilaknat di dunia dan akhirat dan diaminkan oleh para Malaikat ialah lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki. (hadis riwayat al-Tabarani).
6) Sebagai kesimpulan, apapun alasan dan hujah kita perlulah diukur dengan ukuran agama. Jika bertepatan maka al-hamdulillah, jika berlawanan, maka alasan kita itu sebenarnya jauh menyimpang dari landasan agama. Semoga agama terus dijunjung dan ditegakkan walaupun berlawanan dengan nafsu, kehendak, alasan, hak dlln.
Lihat artikel berkaitan di;-
http://darahmerdeka.wordpress.com/2008/11/13/islam-jantina-dan-seks/