Sunday 20 March 2011

Kehebatan Sebuah Tamadun: Di mana Ukurannya?

Kehebatan Sebuah Tamadun: Di mana Ukurannya?

Disediakan oleh:
Mohd Noor bin Daud

Orang selalu memperkatakan tentang tamadun. Mereka selalu menyebutkan beberapa tamadun dunia yang hebat sebelum ini, antaranya tamadun Mesir, Tamadun India, Tamadun Mesopotamia, Hwang Ho, Tamadun Arab, Tamadun Rom, Tamadun Melayu, Tamadun China, Tamadun Barat dan lain-lain lagi. Mereka juga mengulang sebut beberapa pencapaian dan keistimewaan yang telah dicapai dan dihasilkan oleh tamadun-tamadun itu sebagai bukti kehebatan tamadun tersebut. Namun, sedar ataupun tidak tamadun dalam Islam akan disebutkan “Tamadun Islam” dan tidak dinisbahkan kepada negara hatta kepada kerajaan-kerajaan Islam terdahulu yang pernah mencapai kegemilangannya.

Ternyata, fahaman tamadun yang ditaja oleh Islam mempunyai definisi dan acuannya yang tersendiri. Oleh kerana itu dalam menilai sesebuah tamadun, kita mestilah melihat menggunakan kayu ukur atau skema yang tepat supaya natijah yang diperolehi juga adalah tepat. Sebagai contoh, jika kayu ukur “kebendaan” yang digunakan dalam menilai sesebuah tamadun, maka tamadun yang ketinggalan atau terkebelakang dalam kebendaan akan dilabelkan mundur. Jika Sains dan teknologi yang menjadi kayu ukur, maka tamadun yang tidak mampu menandinginya akan dianggap ketinggalan dan begitulah seterusnya.

Membaca penulisan-penulisan mengenai “Tamadun Islam”, didapati ramai penulis yang menggunakan kayu ukur tersebut dalam menilai pencapaian tamadun Islam. Sebagai contoh, mereka menulis bahawa Tamadun Islam telah melahirkan ilmuan serta cendikiawan Islam seperti Ibnu Sina (Avessina), Ibnu Rushd (Averroes) dan al-Khawarizmi yang telah menyumbang kepada pembangunan Sains dan Teknologi Dunia. Malah mereka menyebutkan, pembangunan ilmu dalam Islam telah diakui sebagai pemangkin kepada zaman pembaharuan (Renaissance) di Eropah yang akhirnya melahirkan sebuah tamadun yang gilang-gemilang di sana.

Menurut mereka juga, kesan dari itu Bangsa Eropah telah mengambil inisiatif besar menterjemah malah mempelajari pelbagai ilmu dari dunia Islam. Ilmu-ilmu yang diterjemah itu melewati ilmu-ilmu falsafah, matematik, sains, astronomi, perubatan dan lain-lain. Hasil dari itu juga, telah muncul Universiti-universiti Naples, Bologna, Universiti Paris, Oxford dan sebagainya sehingga Eropah berjaya keluar dari zaman gelap dan menjadi sebuah Tamadun yang hebat sehingga ke hari ini.

Fenomena ini menampakkan secara sedar ataupun tidak bahawa para penulis itu telah terikut-ikut dengan penilaian barat dalam menilai pencapain sesebuah tamadun termasuk tamadun Islam. Penulis tidak berpendapat ia suatu yang salah tetapi jika hanya terhenti setakat itu, maka sememangnya ia adalah salah.

Sedangkan, menilai sesebuah tamadun bukan hanya dari segi Sains dan Teknologinya sahaja atau dengan kata lain “kebendaannya”sahaja, bahkan yang paling penting menilai “manusianya”. Dengan kata lain, sejauh mana manusia itu bertamadun ataupun tidak, maka setinggi itulah sesebuah tamadun telah terbina. Asalan kenapa manusia yang perlu dinilai adalah terlalu mudah iaitu kerana manusia itulah yang mencorak tamadun tersebut. Tamadun jika dinilai dari segi “kebendaan” semata-mata, maka tamadun itu ialah tamadun “benda” bukannya tamadun “manusia”. Yang menilai sesebuah tamadun itu ialah manusia bukannya benda, maka kenapa yang dinilai itu benda tidak manusia. Seseorang pemimpin yang berjaya membina kebendaan yang hebat dalam sesebuah negara, tidak ubah seperti tukang kayu, bukannya pemimpin. Mungkin tukang kayu dalam skop yang lebih besar. Maka ia lebih hebat.

Dalam Islam, penekanan yang diberikan ialah kepada manusia tanpa manafikan kebendaan. Ertinya perkara utama yang menjadi ukuran itu adalah “manusia” bukannya “benda”. Dengan lain perkataan, sejauh mana manusia itu mencapai nilai tinggi dalam dirinya, maka dia seorang yang bertamadun tinggi tidak kira di mana ia berada, dalam bangunan atau rumah papan, zaman dahulu atau zaman moden. Ini kerana “tamadun” dalam Islam tidak khusus kepada zaman atau tempat, sebaliknya bersifat universal sesuai untuk setiap masa dan tempat.

Penulis melihat perkara yang menjadi kayu ukur sesebuah “Tamadun Manusia” dan menjadi modal pembangunanya menurut acuan Islam ialah lima perkara asas iaitu nilai-nilai asas yang perlu ada dalam diri manusia iaitu agama, jiwa, nasab, harta dan akal. Ia juga disebut maqasid syar’iyyah. Perkara inilah sebenarnya yang menjadi keperluan asas manusia dalam sesebuah kehidupan lebih-lebih lagi dalam sebuah Tamadun manusia. Ia dijelmakan dalam tiga aspek utama iaitu akidah suci dan kukuh kepada Allah, Syariah yang dijadikan panduan serta peraturan hidup dan akhlak. Perkara inilah yang menjadikan pembinaan Tamadun Islam lebih bererti berbanding Tamadun lain.


Tamadun dan Maqasid Syariah

Agama (Ketuhanan)
Islam menetapkan konsep keesaan dalam bertuhan. Allah yang besifat dengan segala sifat kesempurnaan. Allah yang ada tetapi tidak dapat dilihat menjadikan Dia hebat. Allah yang satu tidak perlu sekutu menjadikan Ia kuat dan sempurna. Tuhan yang bukan dibuat oleh tangan manusia kemudian disembah menjadikan Ia bersifat sejati. Bukan juga Tuhan yang perlu dijelmakan untuk menarik kepercayaan manusia menjadikan Ia Agung. Dengan itu, manusia yang bertuhankan Allah yang begini sifatnya akan menjadi manusia yang bertamadun. Sebaliknya, manusia yang menyembah tuhan yang dibuat sendiri, atau menyembah banyak tuhan dengan kuasa yang berbeza atau bersikap mulhid dengan tidak mempercayai kuasa tuhan tetapi bertuhankan hawa nafsunya adalah manusia yang tidak bertamadun sama ada mereka berada di zaman kuno atau zaman moden, sama ada mereka berjaya sampai ke bulan atau masih menjadi peladang.. Manusia yang bertamadun ialah manusia yang dapat mengenal Tuhan yang sebenar.

Keturunan (Institusi Kekeluargaan)
Untuk membentuk sesebuah tamadun memerlukan watak-watak yang disebut manusia. Watak inilah yang akan mencorakkan sesebuah tamadun itu. Untuk menjamin kesucian keturunan manusia, Islam telah menggariskan sebuah sistem yang begitu lengkap dan bertamadun. Ini kerana manusia mempunyai tiga elemen yang paling penting iaitu akal, hati dan nafsu. Akal walaupun diletakkan di bahagian atas, tidak bermaksud ia yang paling penting dalam kehidupan manusia muslim yang waras. Manakala Nafsu walaupun diletakkan dibahagian paling bawah, tidak bermaksud ia tidak berfaedah dan perlu dinyahkan. Sementara Hati yang dipenuhi iman dan agama yang berada ditengah-tengah berperanan mengimbangi dua eleman tersebut.

Dalam konteks menjaga keturunan, ia melibatkan elemen nafsu. Walaupun begitu ia masih menerima akal dalam menakul dan hati dalam memutuskan maklumat takkulan itu. Jika nafsu itu diikuti sepenuhnya, sifat kemanusiaan itu akan menjadi kebinatangan. Dalam konteks keturunan, untuk menjaga kesuciannya Islam menggariskan perkahwinan yang merupakan suatu perjanjian yang utuh antara seorang lelaki dan perempuan disaksikan oleh para saksi untuk menunjukkan kesungguhan kedua pihak memikul tanggungjawab. Dengan adanya perjanjian sebegini, maka hak-hak akan terjamin. Sebelum adanya perjanjian ini, manusia muslim diharamkan melakukan hubungan seks kerana ia akan mengotorkan kesucian perjanjian sekali gus mengotorkan zuriat yang lahir. Ini kerana hubungan yang dijalinkan secara sembunyi-sembunyi atau tanpa ada perjanjian yang utuh yang disaksikan oleh para saksi, menjadikan ia sebuah hubungan yang tidak serius. Anak yang dilahirkan akan menjadi anak dari hubungan yang tidak serius. Sikap mengikat sebagai ibu-bapa tidak menebal.

Wanita Islam juga diharamkan melakukan hubungan dengan lelaki kerana akan menjatuhkan kemanusiaannya ke tahap binatang. Jika manusia macam binatang, maka dimanakah kemanusiaannya. Tetapi jika manusia tidak boleh memenuhi tuntutan yang sememangnya dibekalkan, maka tidak masuk akal. Jadi walaupun ia perlu dipenuhi tetapi jangan melebihi batas kemanusiaannya.


Nyawa (Kehakiman)

Nyawa sangat dihargai dalam Islam. Kerana inilah Islam mengharamkam pembunuhan dan menjanjikan hukuman dunia dan akhirat yang berat kepada pelaku sebagai cara mencegah dan menakutkan manusia dari melakukannya. Mana-mana individu dalam islam diharamkan membunuh diri walaupun dirinya itu didakwa miliknya. Sehubungan dengan ini, dalam peperangan sekalipun Islam melarang membunuh mereka yang tidak terlibat dengan penentangan walaupun mereka adalah kafir seperti kanak-kanak, orang tua, wanita, pederi atau pendeta. Kenapa ini berlaku? Kerana Islam menjaga nyawa manusia. Kerana manusia itu adalah sebaik-baik makhluk. Bahkan dalam peperangan juga, tentera-tentera Islam dilarang mencatas atau merosakkan tanaman dan sebagainya melainkan dalam keadaan darurat. Alangkah tingginya tamadun yang dibawa oleh Islam. Perkara ini berbeza dengan agama atau tamadun lain. Lihat sahaja apa yang berlaku di Iraq, Afghanistan, Palestin dan lain-lain. Sehingga kita sendiri sudah lali dengan perkara tersebut dan menganggap ia sudah biasa.

Harta (ekonomi)

Islam idak menafikan sifat semula jadi manusia untuk memiliki harta. Malah di dalam al-Quran juga disebutkan bahawa sememangnya manusia difitrahkan menyukai harta kekayaan. Para sahabat Rasulullah s.a.w juga tidak sedikit yang bergelar ”jutawan” malah mungkin lebih dari itu. Nama-nama seperti Uthman bin Affan, Abdurrahman bin Auf, Talhah Ubaidllah, Zubair mungkin tidak asing bagi mereka yang meneliti sejarah Islam. Tetapi untuk mendapatkan harta itu islam telah menggariskan panduan yang cukup tinggi ketamadunannya. Bukankah dalam al-Quran menyebutkan ”jangan kamu memakan harta di kalangan kamu dengan cara yang batil”. Bermaksud untuk mendapatkan harta yang menjadi fitrah manusia itu perlu ada kaedah mendapatkannya. Kita juga selalu membaca surah al-Mutaffifin, suatu surah yang secara tegas menyebutkan kecelakaan bagi mereka yang cuba mendapatkan harta dengan cara menipu timbangan. Islam juga anti sikap tamak sehingga sanggup melaklukan monopili atau disebut (ihikar) dalam hadis Nabi s.a.w, menipu (Ghiss), dan banyak lagi.

Kita juga mungkin lupa bahawa satu-satunya kesalahan yang diistihar perang oleh Allah ialah mereka yang mengamalkan riba dalam muamalatnya. Apakah itu riba? Adakah ia Baik? Rasanya tidak perli saya huraikan di sini.

Harta yang diperolehi itu pula diajar oleh Islam bukan milik mutlak manusia. Jika harta itu ada lebihan diingatkan jangan lupa kepada yang kekurangan. Dengan sistem timbal balas ini menjadikan sesebuah masyarakat itu nampak seimbang. Golongan kaya dan miskinnya tidak wujud jurang yang jauh. Justeru Islam mewajibkan zakat. Dengan kata lain, ia menjadi satu cara wajib untuk menolong saudara Islam yang laian yang memerlukan. Di samping itu Islam juga membuka peluang berbuat baik kepada mereka yang ingin melakukannya dengan bersedekah sunat.

Sikap terlalu sukakan harta yang diperolehi sehingga dah menjadi terlalu ”gila”kan harta juga tidak disukai Islam. Al-Quran juga menyebutkan bahawa mereka yang terlalu sukakanya harta sehingga selalu menghitung-hitung sehingga merasakan kekayaannya boleh mengekalkannya pada kekuasaanya, pada kehidupannya akan dimasukkan ke dalam neraka ”wail”. Bukankah ini menunjukkan ketamadunan yang tinggi bagi mereka yang mengikutinya.

Tamadun dan Manusia Hebat

Penulis dapat merasakan betapa tamadun Islam merupakan tamadun kemanusiaan tertutama apabila mengkaji dan membaca senarai ulama-ulama dalam buku-buku turath dalam pelbagai bidang. Melihat bidang feqah kita akan lihat buku sebagai contoh tabaqah al-Syafiiyyah. Buku ini menyenaraikan begitu ramai ulama-ulama hebat dalam bidang feqah dalam mazhab syafie. Perkara yang sama berlaku dalam mazhab-mazhab yang lain. Jika melihat dalam bidang hadis pula tidak seorangpun yang boleh mempertikaikan bahawa sesuatu hadis itu diterima atau ditolak bergantung kepada perawi-perawinya yang boleh dipercayai (thiqah), kuat ingatan dan tepat (thabit), tidak ditohmah dan sebagainya. Ertinya, mereka adalah manusia yang dipercayai dan mencapai ketamadunan yang tinggi. Setakat ini penulis belum temui atau terserempak dengan kitab-kitab lama-mungkin penulis cuai- yang membincangkan mengenai bangunan-bangunan hebat yang dibina oleh para sahabat, tabien, tabi tabien yang boleh dibanggakan sekaligus menjadi mercu tanda ketamadunan zaman itu. Begitu juga kita boleh membaca senarai para sahabat yang banyak itu dengan kelebihan masing-masing.

Malah sebelum zaman Tabi’ tabien iaitu zaman Rasulullah dan para sahabatpun, tidak ada satu “benda” yang ditonjolkan sebagai nilai ketamadunan. Apa yang menjadi ukurannya ialah kehebatan, kualiti para sahabat Nabi s.a.w. sehingga setiap indidvidu mempunyai sifat unggul masing-masing. Mereka terkenal dengan sifat berani, berilmu, hartawan yang bertakwa dan lain-lain lagi sehingga Rasulullah boleh memberikan jaminan sahabatnya seperti bintang di langit, mana-mana mereka yang menjadi ikutan nescaya akan mendapat hidayah. Sebuah tamadun yang begitu tinggi yang telah dibina oleh Rasulullah s.a.w..

Hal ini perbeza dengan tamadun lain. Tamadun yang menzahirkan kebendaan sebagai aras tanda tetapi masyarakat yang menjadi karikatornya musnah semusnah musnahnya.

Kesimpulannya
Tamadun yang hebat ialah tamadun yang boleh mempunyai manusia yang hebat. Tamadun yang hebat ialah tamadun yang membawa manusia kepada ketaatan kepada Allah. Individu yang hebat dan bertamadun ialah manusia yang boleh membawa pancainderanya dan urusannya ke arah keredhaan Allah. Negara yang hebat ialah negara yang boleh membawa segala urusan kenegaraannya kepada keredhaan Allah. Sejauhmana kita jauh dari kejahatan syirik, bunuh, rompak, samun, zina, riba, menindas, dan sebagainya, maka sehebat itulah tamadun kita. Begitulah sebaliknya, jika kita masih bergelumang dengan kejahatan ini, maka kita masih jauh dengan apa yang disebut sebagai “tamadun” walaupun kita mempunyai kebendaan yang yang hebat.




No comments:

Post a Comment