Thursday 24 March 2011

Teringat ketika Pertama Kali Menjejakkan Kaki Di Jordan

Oleh
Mohd Noor bin Daud


Mengenang kembali kenangan menuntut ilmu di Ardu al-Anbiya, memberikan semangat baharu kepada hidup saya yang kadang-kadang dirundum seribu satu masalah. Bab pepatah Melayu “bumi mana tidak ditimpa hujan”. Tetapi kadang-kadang masalah yang mendatang itu menyebabkan saya luntur dan lemah semangat kalaupun tidak putus dan hilang. Penyakit luntur ini terus diburukkan lagi apabila bersarang dan lama di dalam diri. Apa tidaknya, masalah dengan diri sendiri (ini memang masalah besar), masalah dengan tempat kerja, masalah dengan masyarakat, masalah dengan dunia hiburan, masalah ekonomi, masalah Negara, masalah ummat di Tunis, di Libya, di Syria dan banyak lagi….. senangnya seribu satu masalah. Masalahnya kita tidak boleh lari dari masalah itu. Itu satu lagi masalah. Tapi gagal mengurus masalah ini banyak memburukkan keadaan. Bukan mudah mengurus masalah ini.

Kenangan semasa belajar dulu sangat seronok. Saya tidak perlu fikir serius sangat benda-benda ni. September 1996, ya masih ingat lagi, bulan inilah saya bertolak ke Tanah Arab untuk memulakan langkah mencari ilmu. Ke Jordan negara padang pasir.-itu yang tergambar dalam fikiran kerana tidak bermaklumat. Mungkin bukan saya seorang yang mempunyai gambaran ini. Sebelum tu saya belajar di sekolah agama yang tidak kurang hebatnya di Kelantan. Maahad Muhammadi lelaki. Sekolah Maahad ada dua, 1 Maahad Muhammadi lelaki (Banin) dan satu lagi Maahad Muhammadi perempuan (Banat). Tapi sekarang ni maahad sudah banyak....

Ingat lagi semasa di tingkatan 6 bawah satu, sambil-sambil menunggu result SPM, saya sudah berjanji pada diri ini untuk belajar bersungguh-sungguh. STU semestinya 6 aggregat. Itulah harapan dan cita-cita pada ketika itu. Selepas itu saya akan menyambungkan pengajian ke Mesir. Itulah yang terlintas di fikiran. Tidak pernah tahu bahawa dengan SPM boleh melanjutkan pelajaran ke tempat lain selain IPTA tempatan. Usaha keras untuk mendapat 6 aggregat sememangnya telah dirangcang. Pencapaian yang memberangsangkan ketika ujian penggal sedikit sebanyak membakar semangat untuk mencapai target itu. Pencapain saya tidak jauh bezanya dengan pelajar cemerlang pada ketika itu. Sekali lagi semangat di dalam diri semakin menebal. Rupa-rupanya saya juga boleh mencapai kejayaan cemerlang, tetapi mungkin potensi diri tidak ditemui sepenuhnya. Namun ini semua belum terlambat bagiku untuk membuktikan kemampuan diri, getus hati saya. Semangat bersaing semakin membuak-buak dalam diri. Tidak ada yang boleh menghalang kejayaan ini melainkan kehendak Allah.

Nak dijadikan cerita, pada suatu hari, ada ustaz baru mendaftar di sekolah. Mungkin kerana gemuruh dengan nama Maahad Muhammadi nampak kegelisahan di muka dan pergerakan beliau. Kelas pertama beliau dimuatkan dengan sesi taaruf. Masing-masing dikehendaki memperkenalkan diri dan pencapaian peringkat SMU. Perasaan rungsing dan takut semakin jelas di muka beliau apabila kami masing-masing memperkenalkan diri dan memaklumkan keputusan SMU itu. Kesian juga jika diingatkan kembali ustaz tu. Tapi itu hanya permulaan sahaja. Selepas itu semua jadi ok.

Ada satu cerita lagi yang agak melucukan iaitu, ada seorang guru matematik perempuan yang mengajar kami ketika itu. Apa yang menjadi isu ialah beliau seolah-olah tidak dapat memahami suasana sekolah agama. Maksudnya beliau berpakaian dengan pakaian yang tidak sesuai dengan suasana sekolah agama. Agak menampakkan body. Sedikit ketatlah. Ada persatuan yang menampalkan pamplet mengenai kod etika berpakaian lelaki dan perempuan. Tiba-tiba dia melenting dan ketika dalam kelas kami dia menyebutkan satu ungkapan yang sehingga kini masih terngiang-ngiang di kepala saya. Katanya, saya pakai macam ni pun saya tak berniat untuk mengoda siapa-siapa. Lucu dan kelakar jugalah. Pada masa tu lantas terlintas di fikiran saya bagaimana seorang guru boleh mengeluarkan kenyataan begini. Terlintas juga guru ni belajar di Universiti mana dulu.

Universiti Yarmouk, itulah nama universiti tempat saya belajar dulu. Nama Yarmouk mengingatkan saya kepada kisah peperangan Yarmouk yang cukup hebat itu. Apa tidaknya, ingat lagikah kita bagaimana Ikrimah bin Abu Jahal (ya, Abu jahal yang menjadi musuh no 1 Islam) menunjukkan keberanian luar biasanya. Di awal peperangan tu, beliau diingatkan supaya menunggu bantuan. Tetapi beliau sebaliknya berkata: ”Wahai Khalid, benarkan aku bertempur habis-habisan pada hari ini. Kamu sudah lama memeluk Islam dan bertempur dalam peperangan menentang kekufuran sedangkan aku..... Ingat lagikah kita dengan kisah 3 sahabat yang kehausan selepas peperangan tamat. Apabila sahabat membawakan air kepada sabahat yang pertama kehausan, hampir hendak diminumnya tiba-tiba terdengar suara meminta air, segera disuruhnya ke sana walaupun beliau sendiri perlu, sahabat tadi segera mendapatkan suara tadi, dan beliau hampir memberikan air kepadanya tiba-tiba terdengar suara meminta air, segera disuruhnya ke arah suara itu. Apabila sahabat tadi mendapati sahabat tersebut, beliau telah syahid, bergegas balik kepada sahabat ke dua, didapati dia juga telah syahid, bergegas mendapatkan sahabat ke tiga, dia juga syahid. Tahukah kita siapa salah seorang dari mereka itu?, ya, dialah Ikrimah bin Abu Jahal. Semoga Allah menempatkan kita bersama orang-orang yang hebat ini. Dalam tempoh sebulan di Jordan, banyak perkara yang dapat saya belajar. Bermula dengan penerbangan MEA yang melalui Lubnan. Pada masa tu saya bersama dengan beberapa orang kawan. Secara tepatnya 5 orang, saya, dua orang rakan yang baru pertama kali bertemu di lapangan terbang Subang. Seorang Ustazah dan seorang ustaz. Mereka berdua ni akan bertolak ke Mesir dari Lubnan. Tinggal kami bertiga sahajalah. Kamu tiga orang sempat menginap di hotel, di bandar Lubnan. Sepanjang perjalanan menuju ke hotel kelihatan kesan-kesan peluru di dinding-dinding rumah. Maklum sahajalah mereka baharu sahaja tamat perang saudara. Teruk juga kesannya. Kalau sebelum ini hanya mendengar melalui corong-corong radio dan juga televisyen. Hotel Lubnan, boleh saya simpulkan sebagai teruk. Canel tvnya yang tidak ada penapisan. Semua benda ada. Faham-faham sendiri sahajalah.

Dari Lubnan kami bertiga bertolak ke jordan. Bersambung...

1 comment: